Transformasi parlimen: Ubah sikap ahli Parlimen dahulu

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad, berkata setiap Ahli Parlimen perlu berbahas dengan kebenaran dan tidak membawa ideologi politik dalam setiap perbahasan.

“Ahli Parlimen dipilih oleh rakyat untuk membawakan masalah mereka ke Parlimen untuk diselesaikan namun kekecewaan rakyat pada Parlimen bermula apabila anggota Parlimen berbahas sebagai ahli politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara ‘Demokrasi’ yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi. Dua lagi panel ialah Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi dan Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Nasrudin turut bersetuju bahawa perubahan Parlimen perlu bermula dengan anggota dewan dan tahap perbahasan wakil rakyat perlulah lebih berkualiti.

Beliau menjelaskan, ketika ini bahasa yang digunakan oleh Ahli Parlimen tidak menunjukkan kualiti sesebuah Parlimen sebaliknya menonjolkan bahasa yang tidak elok sehingga institusi tersebut bertukar menjadi seolah-olah ‘pasar’.

“Kekecewaan yang berlaku dalam kalangan Ahli Parlimen yang masih baharu ialah apabila didedahkan dengan kalimah-kalimah kesat yang digunakan di Parlimen, tidak ubah seperti berada di pasar,” katanya.

Justeru, dalam melaksanakan transformasi Parlimen, seorang Ahli Parlimen haruslah mengawal bahasa yang digunakan, mempunyai latar belakang undang-undang dan tidak hanya terikat dengan parti politik bagi memastikan hujah yang diutarakan berkualiti dan diterima dewan, katanya.

Sementara itu, Loke berpendapat transformasi Parlimen perlu dilaksanakan secara beransur-ansur dan tidak drastik bagi membolehkan ia diterima oleh semua pihak.

Januari lalu, Kabinet bersetuju dengan tiga daripada empat teras cadangan pindaan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi pelaksanaan transformasi Parlimen.

Teras cadangan yang diterima dalam mesyuarat Kabinet adalah pindaan berkenaan pertanyaan-pertanyaan jawab lisan, mewujudkan Kamar Khas dan mewujudkan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Bagaimanapun, Kabinet membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan teras pindaan keempat iaitu mewujudkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan yang baharu. – Bernama

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri