TAPAH: Jenazah Aszura Bani, 37, mangsa kejadian kepala air di Sungai Kenjur, dekat Kampung Poh Bidor telah selamat dikebumikan sekitar jam 12.20 tengah hari di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor di sini, hari ini.
Terdahulu, jenazah telah disolatkan di Masjid Al-Muhtadin Bidor sekitar jam 11.30 pagi tadi, oleh kira-kira 50 jemaah dalam kalangan ahli keluarga terdekat.
Mayat tiga lagi mangsa yang juga anak Aszura iaitu Hanum Marissa Azam, 2; Hafif Muhayat Azam, 4; dan Hanna Mikayla Azam, 7; masih berada di Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat dan proses pengurusan jenazah.
Sementara itu, adik arwah Aszura, Muhammad Faizal Bani, 36, ketika ditemui berkata mereka sekeluarga selalu berkunjung ke Sungai Kenjur untuk berkelah, namun tidak menyangka lokasi berkenaan kawasan berisiko berlaku kejadian kepala air.
“Satu jam sebelum kejadian, saya ada mesej arwah namun dia cuma membalas salam dan minta saya supaya tunggu sebentar.
“Tak lama selepas itu, saya terima berita dia telah ditemukan lemas dan pada masa yang sama tiga lagi anaknya turut lemas dan masih lagi hilang,” katanya katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, di sini, hari ini.
Bercerita tentang perwatakan arwah, Muhammad Faizal berkata kakaknya yang bekerja sebagai penjual buah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah sebelah selatan itu seorang yang periang selain amat disayangi oleh semua ahli keluarga.
“Kami reda dengan pemergiannya cuma rasa sedih itu tetap terasa kerana dalam kalangan adik beradik, arwah sangat disayangi atas sifatnya yang periang dan sering membantu (adik beradik) yang lain,” katanya. – Bernama