Melalui tulisannya di Facebook petang ini, Tony seakan-akan merajuk dan mendakwa rakan partinya itu meninggalkan DAP dalam keadaan telanjang.
“Kadang-kadang, kita tertanya-tanya, apa jenis rakan yang kita ada. Apabila mereka dalam krisis, kita ke hulu dan ke hilir menyokong mereka ke hulu, tanpa mengira apa yang bakal berlaku.
“Tetapi apabila tiba masa kita perlukan sokongan, mereka bocorkan segala-galanya terlebih dahulu kepada media, meninggalkan kita dalam keadaan telanjang sepenuhnya.
“Ataupun mengumumkan kepada dunia secara terbuka sebelum mereka berbincang dengan kami,” katanya yang juga Pengerusi DAP Selangor dalam laman Facebook petang ini.
Ramai yang menganggap status berkenaan adalah ditujukan kepada PKR ekoran keputusan parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu masih belum boleh bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan PRN mengejut di Pulau Pinang.
PKR melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) semalam menyatakan pendirian sedemikian namun masih terbuka untuk berbincang bersama DAP berhubung perkara berkenaan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini juga masih mengekalkan sikap positif dengan memberi ruang dan masa kepada PKR untuk berbincang lanjut mengenai cadangannya itu.
Namun, tempoh masa yang diberikan kepada PKR adalah terhad dan mustahil akan dilanjutkan sehingga tahun hadapan.
PRN Pulau Pinang dicadangkan Guan Eng yang juga Ketua Menteri negeri itu baru-baru ini.
Meskipun Parti Amanah Negara (Amanah) telah menyatakan persetujuan bagi menjalankan pilihan raya berkenaan, lampu hijau dari PKR masih diperlukan dari PKR memandangkan Guan Eng enggan mengambil keputusan secara unilateral yang mana melibatkan Pakatan Harapan.