TNB dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia pagi ini berkata, anak syarikat SIPP Energy, Southern Power Generation Sdn Bhd, akan membina, memiliki, mengendali dan menyelia loji jana kuasa gas dengan kapasiti nominal 1,440MW.
Loji itu merangkumi dua blok jana kuasa, dengan mana setiap blok memiliki keupayaan menghasilkan 720MW tenaga elektrik.
Ia dijangka beroperasi secara komersial pada 1 Januari 2020.
“PPA itu merangkumi obligasi pihak terbabit untuk menjual dan membeli tenaga elektrik yang dijana dan, kepada tahap tertentu menghantar, tenaga elektrik yang dijana oleh keupayaan itu.
“PPA itu adalah bagi tempoh 21 tahun daripada tarikh operasi komersial blok pertama,” kata TNB.
TNB berkata, pemeteraian PPA itu tidak memberikan sebarang kesan ke atas modal terbitan dan berbayarnya, mahupun kepada pemegang sahamnya. Ia juga katanya akan memberikan impak neutral ke atas pendapatan dalam tempoh PPA itu, memetik laporan Berita Harian.