Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata tindakan FAM itu seolah-olah membenarkan gejala rasuah kembali bertapak semula kerana pemain tidak lagi akan dihantui perasaan takut.
“Adakah FAM mengambil kira akan kesan masa panjang terhadap bolasepak tanahair kerana sekiranya gejala rasuah dianggap mudah untuk diberi pengampunan, Bagaimanakah ianya akan menjadi pengajaran kepada pemain generasi baru?” kata TMJ dalam satu kenyataan malam tadi.
Kecaman ini menyusuli keputusan FAM Isnin lalu untuk memaafkan 78 pemain bola sepak yang pernah terbabit dalam skandal rasuah dan mengatur perlawanan sekitar awal 1990an.
Keputusan itu seraya membolehkan mereka kembali menceburi bidang sukan bola sepak di peringkat negeri dan kebangsaan.
Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, keputusan dibuat selepas mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Memandangkan kesannya kepada masa hadapan bola sepak negara, TMJ berkata FAM seharusnya tegas dengan pendirian asal dan tidak memberi muka kepada pesalah-pesalah tersebut.
“Terjebak dengan rasuah sudah cukup memburukkan keadaan tetapi rasuah secara terbuka tidak ada kata-kata untuk dikatakan,” katanya.