TMJ pegang ‘pendrive’ bukti ketirisan FAM

Menurut TMJ, pada beliau terdapat bukti yang diterimanya dari sumber yang boleh dipercayai mengenai aktiviti dan maklumat orang dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mana ianya melibatkan ketirisan.

“Anda memberi komen tentang pemain yang bersara dan membuat kenyataan seolah-olah mereka tidak pernah berkhidmat dan mencapai kejayaan bersama pasukan kebangsaan. Apa yang susah sangat untuk menghormati keputusan mereka? Satu perkataan sahaja yang anda harus katakan tentang mereka atau kepada mereka iaitu ‘terima kasih’. Terima kasih atas pengorbanan mereka selama ini. Itu sahaja. Usah tunjuk kepada saya dan generasi sekarang yang anda semua sebagai orang lama susah hendak menerima bahawa masa dan dunia ini telah berubah. Apa yang pelik adalah anda semua boleh terima selama ini dan sanggup mempertegakkan 30 tahun korupsi dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Ini adalah ‘pendrive’ diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur berkenaan maklumat dan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, orang-orang media yang FAM selalu gunakan termasuk bekas-bekas pemain di Malaysia, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang merepek. Mungkin sudah sampai masanya untuk penyokong bolasepak tanahair melihat dan menilainya sendiri. Saya mempunyai seorang komander di India yang pernah berkata, ‘jangan diajak penembak tepat pergi menembak’.

“Akhir sekali, saya ingin mengingatkan, duit rakyat sepatutnya digunakan untuk rakyat sahaja. Bukan untuk bolasepak dan kepentingan politik. Sila selesai isu gaji pemain yang sudah lama tidak diselesaikan,” katanya memetik status di laman Facebook Johor Suothern Tigers pada Isnin.

Sebelum ini, empat pemain JDT yang yang bersara ialah Safiq Rahim, Aidil Zafuan, S.Kunalan, dan Amirul Hadi.

Persaraan keempat-empat mereka mendapat reaksi negatif dari veteran bola sepak, Khalid Ali yang mana beliau menyifatkan tindakan berkenaan sebagai satu langkah yang tidak bersemangat.

Malah beliau turut mempertikaikan kemampuan pemain bola sepak berkenaan dengan mengatakan pemain kampung mempunyai bakat yang lebih baik.

“Tidak ada semangat langsung. Pemain kampung lebih baik daripada mereka. Saya langsung tak hormati mereka.

“Jangan sebut nama mereka depan saya. Pada saya mereka telah dikuburkan. Saya langsung tidak menghormati. Jika saya jumpa mereka, saya tidak akan pandang mereka,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today baru-baru ini.

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2