Pengisytiharan pelantikan oleh Sultan Ibrahim itu dibacakan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dalam majlis istiadat pengisytiharan Pemangku Raja di Istana Bukit Serene, hari ini.
Pelantikan atas nasihat dan penyertaan jemaah Majlis Diraja itu dilakukan mengikut Fasal 9 (1) (c) dan (3) Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Ia membolehkan Tunku Ismail menunaikan tugas-tugas mentadbir negeri, berikutan keberangkatan ayahanda baginda ke Vancouver di wilayah British Columbia, Kanada untuk lawatan rasmi.
Sultan Johor mendapat undangan melawat British Columbia daripada Leftenan Gabenornya, Judith Guichon pada 23 Mac lepas, ketika pelancaran Model Menara Bank Rakyat di sini.
Sultan Ibrahim yakin dengan kemampuan anakanda baginda menjalankan tugas serta mentadbir negeri, malah turut menyifatkan ia sebagai persediaan kepada Tunku Ismail untuk menjadi seorang raja.
Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman.
Ia turut dihadiri barisan Exco kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim. – Bernama