Konvoi Bersih itu tiba di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tengah hari, tetapi kumpulan Baju Merah sudah sedia menunggu dengan membawa poster anti-Bersih.
Bagaimanapun anggota polis yang dibantu Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak pantas membentuk halangan bagi memisahkan kedua-dua kumpulan tersebut daripada bersemuka.
Konvoi bersih kemudiaannya beredar bagi mengelak bertembung dengan kumpulan Baju Merah tetapi kembali ke lokasi sama kira-kira pukul 3 petang.
Kedua-dua kumpulan meninggalkan kawasan terbabit kira-kira sejam kemudian.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Ketua Polis Selangor, Timbalan Komisioner Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, pihaknya tidak akan menghalang mana-mana pihak untuk menganjurkan tunjuk perasaan selagi mematuhi Akta Perhimpunan Aman.
Jelas beliau, konvoi Bersih tidak melanggar sebarang undang-undang kerana mereka telah memohon permit daripada pihak polis.
“Jika ada pihak mahu menganjurkan program dan mematuhi undang-undang, sudah pasti polis tidak akan menghalang mereka. Tetapi kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang melanggar peraturan dan mencetuskan kekecohan.
“Keselamatan merupakan kepentingan utama dan sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan penunjuk perasaan mematuhi undang-undang serta menepati janji mereka,” katanya, memetik laporan mStar Online.