Ia pastinya mencipta bangga buat negara apabila berjaya melahirkan jaguh baharu dalam dunia pemotoran tanah air dan dunia.
Sebaik saja Khairul menerima trofi, lagu Negaraku dimainkan dan Jalur Gemilang dikibarkan.
Bukan itu saja, apa yang mencuri tumpuan ialah, apabila pelumba berusia 17 tahun lari daripada pencuran arak oleh dua pemenang lagi.
Sebaik saja gadis pengiring memberi dua botol arak kepada pemenang tempat kedua dan ketiga, beliau bergegas lari dari podium untuk mengelak daripada disembur dengan arak.
Mungkin dalam kalangan warga asing ia kurang disenangi, namun, anak muda itu tetap menjaga batas agama dan tindakanya itu mendapat pujian ramai.
Khairul yang mewakili pasukan Honda Team Asia itu mencatat masa 41 minit 35.452 saat dalam 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo.
Pelumba Sepanyol, Jorge Navarro yang mewakili pasukan Estrella Galicia 0,0 Honda dan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder dari Red Bull KTM Ajo masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan catatan 42’1.622 saat dan 42’5.512 saat.
Seorang lagi penunggang Malaysia, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team menduduki tangga ke-11 walaupun terbabit dalam kemalangan di selekoh akhir pusingan.
Kemenangan ini menyaksikan Khairul Idham memungut 25 poin untuk berada di tempat keempat sementara Adam kekal di tangga ke-19 dengan lima poin selepas leg kedua kejohanan.