Tindakan keluar dewan tanda protes

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, tindakan itu diambil berikutan Najib dilihat menggunakan platform pembentangan bajet bagi melancarkan serangan politik kepada pihak lawan.

“Ini amat nyata kerana di dalam ucapan-ucapan beliau dipenuhi dengan unsur retorik.

“Sepatutnya beliau fokus kepada dasar-dasar dan bagaimana kerajaan akan bantu rakyat, namun jelas platform ini digunakan untuk melancarkan serangan politik,” katanya, pada Sabtu.

Anthony berkata, tindakan keluar dewan itu juga sebagai protes kepada Najib yang masih belum memberi penjelasan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Malaysia Official 1 (MO1).

“Bagi kita, beliau tidak layak untuk terus duduk di kerusi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dan kami tidak bersetuju selagi beliau tidak menjawab isu-isu terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, ahli parlimen pembangkang keluar dewan bagi menzahirkan penolakan terhadap isi kandungan ucapan Najib dalam Bajet 2017.

Menurutnya, sebagai warganegara Malaysia dan wakil kepada rakyat negara ini, pihaknya tidak boleh diperbodohkan sedemikian rupa, sedangkan satu dunia telah mengetahui mengenai kepincangan yang berlaku.

“Satu dunia tahu keadaan ekonomi negara yang kleptocracy dan kita tak boleh tahan lagi.

“Sebab itu kami ambil keputusan untuk keluar dari dewan ketika pembentangan bajet tersebut,” katanya, memetik Sinar Online.

Menurutnya, Najib seakan-akan cuba mewujudkan keadaan di mana ekonomi negara ini masih boleh dikawal.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri