Beliau berkata, pemimpin pembangkang tidak seharusnya berpura-pura menganggap Bersih adalah sebuah pertubuhan bipartisan sedangkan hakikatnya pertubuhan itu bukanlah badan yang memperjuangkan penambah baikan pilihan raya.
“Cukuplah kita berpura-pura menganggap Bersih tidak menyebelahi mana-mana parti dan tidak mempunyai motif politik. Ibarat sudah terang lagi bersuluh, akui saja Bersih adalah alat bagi parti pembangkang dan bukannya badan yang kononnya memperjuangkan penambah baikan pilihan raya.
“Sejak beberapa tahun lalu, pelbagai tindakan mereka membuktikan hakikat itu,” kata Abdul Rahman, dalam satu kenyataan pada Isnin.
Abdul Rahman berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming, yang memintanya untuk membuktikan Bersih berniat menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, kepimpinan Bersih seperti bekas Pengerusi Bersamanya, Datuk S. Ambiga dan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah, secara terbuka berucap dalam di beberapa majlis membabitkan calon pilihan raya parti pembangkang termasuk kempen pilihan raya kecil Teluk Intan.
Beliau berkata, Bersih juga tidak memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan adil, sebaliknya secara aktif menyertai siri perhimpunan anti-GST anjuran pembangkang dengan alasan “pekerja juga adalah pengundi”.
“Sistem percukaian moden yang diterima di seluruh dunia tiada kena mengena dengan penambahbaikan pilihan raya,” katanya.
Abdul Rahman berkata, bertentangan dengan prinsip demokratik, demonstrasi Bersih 4 dan Bersih 5 mendesak Perdana Menteri Najib Razak meletak jawatan walaupun Perdana Menteri itu sudah disiasat serta disahkan bebas daripada sebarang salah laku oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
“Ambiga selaku pengerusi Bersih pada waktu itu, secara terbuka mengulangi segala dakwaan pembangkang berhubung pengundi hantu yang kononnya mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan mensabotaj bekalan elektrik, namun disanggah oleh laporan Pemantau milik Bersih yang mengesahkan tiada bukti ditemui berkaitan pengundi hantu atau gangguan bekalan elektrik.
Malah, beliau berkata, pemimpin yang menyertai ceramah penutup Bersih 4 juga secara terbuka meminta peserta perhimpunan menolak Najib sebagai perdana menteri, dan BN serta berjanji untuk menolak kerajaan memerintah menerusi peti undi.
Sebaliknya, Abdul Rahman berkata, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang menghadapi beberapa tuduhan rasuah di mahkamah tidak didesak meletak jawatan, sebaliknya diundang untuk melancarkan siri jelajah Bersih di Pulau Pinang.
“Terang-terangan bercanggah dengan amalan tadbir urus baik, garis panduan kakitangan awam dan amalan demokratik,” katanya lagi.
Beliau juga sebelum ini dilaporkan berkata, pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) di bawah portfolionya sudah mengenal pasti beberapa syarikat yang didakwa menaja dan menyokong Bersih.
Sehubungan itu, pihaknya berkata syarikat-syarikat berkenaan tidak lagi akan menerima kotrak daripada kerajaan.