Pengarah ARD Management Sdn Bhd, Ardiana Andi Mahmud yang juga penganjur konsert yang dijadualkan berlangsung di Padang B, Plaza Angsana, Johor Bahru itu turut berbesar hati dengan sambutan yang diterima daripada peminat.
“Tiket VVIP yang dianggarkan sebanyak 1,000 telah habis dijual sejak penjualan tiket dibuka baru-baru ini.
“Melihatkan respon itu, kami yakin peminat kedua-dua kumpulan legenda rock ini memang menantikan kemunculan mereka dalam konsert seperti ini.
“Jadi buat peminat yang belum mendapatkan tiket, mereka masih ada peluang untuk memiliki tiket yang dijual pada harga RM30, RM50 dan RM100,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.
Ardina juga mengakui setakat ini, May atau XPDC, kedua-dua kumpulan rock lagenda itu memberikan komitmen yang baik dalam membuat persiapan.
“Mereka telah pun menandatangani kontrak bersama kami dan sepanjang kerjasama ini, mereka memberikan komitmen yang baik termasuklah vokalis XPDC iaitu Mael.
“Kami memang mengharapkan konsert ini dapat berjalan seperti dirancang tambahan pula sokongan daripada peminat sangatlah memuaskan,” katanya.
Kumpulan May dan XPDC akan ke beberapa lokasi seperti di Kluang Mall (22 April), Kip Mart Masai (23 April) dan Pasir Gudang (24 April) untuk tujuan promosi konsert tersebut.