Tiga didakwa rompak bersenjata

Pemandu lori S. Vinod, 32, pembantu kedai runcit R. Simachalan, 27, dan penganggur L. Thinagaran, 33, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Bagi pertuduhan pertama, S. Vinod dan R. Simachalan didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata berbahaya yang boleh mendatangkan cedera parah iaitu sebuah pemotong besi terhadap Tan Hun Khim, 52, dengan merampas barangan kemas bernilai keseluruhan RM40,000, wang tunai mata wang asing bernilai RM4,000, dua utas jam tangan dan sebuah telefon bimbit.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No 58, Jalan SS24/10, Taman Megah, di sini pada 10.35 pagi 25 Julai lepas.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang terhadap seorang warga emas, Ammini Baby, 86, serta pembantu rumah warga Indonesia, Paoziah, dengan merampas barangan milik mereka termasuk barangan kemas dan wang tunai bernilai RM20,000.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No 18, Jalan SS1/1B di sini pada 7.30 pagi, 16 Sept. lepas.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebilah pisau dan sebuah tukul di sebuah rumah didiami tiga wanita R. Bawani, 44, V. Suguna, 46, dan C. Jeyanthi, 46 di Jalan SS1/36 di sini pada 2.30 petang, 4 Sept. lepas.

Mereka juga didakwa mencuri barangan termasuk beberapa beg tangan, wang tunai, barangan kemas serta telefon bimbit yang bernilai keseluruhan RM15,000 daripada wanita berkenaan.

Bagi kesemua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi Vinod dan Simachalan yang diwakili peguam K. Komagan memohon dibenarkan ikat jamin dan sedia menerima syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi Vinod dan R. Simachalan manakala jaminan sebanyak RM18,000 kepada Thinagaran dengan seorang penjamin.

Azhaniz Teh turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 11 Nov. untuk sebutan semula kes.- Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap