JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Mersing menahan tiga anggota polis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM7,800 daripada pemandu lori sawit dan baja di sekitar Mersing pada November tahun lalu.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 36 hingga 42 tahun telah ditahan di Pejabat SPRM Negeri Johor kira-kira 7 malam, semalam.
Rasuah itu adalah sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi bagi mendapatkan permohonan reman. –Bernama