Kata Tun Mahathir, ibadah tersebut perlu dilakukan dengan menggunakan duit dari hasil yang halal dan bukannya dari hasil curi.
Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui Yayasan 1MDB menaja ribuan orang yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menunaikan haji.
“Kita sembah tuhan, dia sembah raja, raja duit. Saya kurang senang dengan orang yang sembah duit ini. Duit bagus tapi dapat secara halallah.
“Buat kerja haji dengan duit yang halal, yang kita himpun hasil perniagaan, hasil kita dapat gaji, duit itulah yang kita guna untuk buat kerja haji.
“Yang ini 10, 20, 30 ketua kampung semua dapat buat kerja haji. Saya khuatir kalau duit itu tidak halal, umrah kita itu halalkah? Haa tidak sah,” katanya ketika berucap di program Muafakat Selamatkan Malaysia di Padang MPAJ di sini.
Tun Mahathir juga turut mempertikaikan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membawa anak-anak buahnya menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.
“Kalau kita dapat duit itu kerana kita curi, lepas itu kita guna duit itu buat kerja haji, ramai juga yang buat kerja haji.
“Berpuluh-puluh, Khairy bawa 200 orang buat kerja haji. Wah duit banyak ini mai daripada mana?,” soalnya.