Orang ramai juga tidak sewajarnya terpedaya dengan viral dakwaan palsu yang menyatakan tempoh urusan permohonan dan pembaharuan pasport mengambil masa enam bulan kerana pihaknya tetap kekal dengan akujanji piagam pelanggan yang mana pasport diserahkan dalam tempoh sejam selepas pembayaran selesai dibuat.
Katanya, apabila sistem permohonan dan pembaharuan pasport secara online dilaksanakan pada September ini, pihak Jabatan Imigresen yakin masalah kesesakan di pejabat-pejabat Imigresen ketika ini akan dapat diatasi.
Mengulas mengenai kesesakan yang berlaku di pejabat-pejabat Imigresen terutamanya di Lembah Klang, Mustafar menyifatkan sikap panik masyarakat atas dakwaan-dakwaan palsu menyebabkan kesesakan berkenaan tidak dapat dielakkan.
“Kita mengadakan transisi kepada pasport berkualiti tinggi yang lengkap dengan ciri-ciri polycarbonate dan cip, walaupun sudah ada perubahan yang baharu, pasport lama yang berbaki dua tahun sebenarnya masih lagi boleh dipakai.
“Bagaimanapun, orang ramai panik untuk mendapatkan pasport baharu dan berpusu-pusu ke pejabat Imigresen kerana takut pasport akan habis. Keadaan sebenarnya tidak perlu sampai begitu, saya sendiri sudah banyak nafikan kenyataan-kenyataan viral palsu itu,” katanya dengan memetik laporan Utusan Malaysia pada Selasa.