Secara umumnya, orang ramai memberi tumpuan dalam Bajet yang menentukan arah tuju negara ini lebih-lebih dalam keadaan ekonomi yang lemah, kos sara hidup yang meningkat dan tahap defisit yang tidak lagi dihiraukan rakyat. Rakyat sekadar boleh mengharapkan berapa banyak yang boleh kerajaan berikan kepada rakyat.
Pelaksanaan GST benar-benar menambah beban rakyat. Rakyat berharap kerajaan dapat mengkaji semula dasar GST dalam Bajet atau mengurangkan kadarnya sekali gus dapat mengurangkan beban sara hidup. Namun Najib menolak mentah-mentah pandangan rakyat itu dengan menyatakan bahawa GST adalah penyelamat negara, tanpa GST, ekonomi negara akan runtuh.
Kata-kata PM ini seperti sengaja menakut-nakutkan rakyat! Adakah ekonomi negara kita sebegitu lemah? Dengan memansuhkan satu cukai boleh runtuhkan negara? Kita sudah melalui krisis ekonomi tahun 1997, defisit fiskal negara pada tahun 2008 pula paling tinggi di mana tiada GST pun kita masih boleh terus hidup.
Semasa Bajet 2016, kerajaan berjaya mengurangkan defisit sehingga 3 peratus. Walaupun demikian, hutang negara kita masih meningkat bahkan tidak berkurang. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, kemungkinan untuk mengurangkan defisit dalam Bajet juga tidak besar.
Demi meraih undi, kerajaan telah meminjam nama golongan miskin untuk diagihkan BR1M yang meningkat saban tahun. Tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM5.9 bilion untuk pemberian BR1M. Berdasarkan kesan undi yang diperolehi, dijangkakan BR1M akan terus bertambah dalam Bajet kali ini. Ia akan menyebabkan kewangan kerajaan menjadi lebih tegang.
BR1M bukan sahaja bertujuan politik bahkan ia tidak menghapuskan kemiskinan. Ia juga tidak memberi kesan positif terhadap ekonomi negara sebaliknya memberi bebanan ekonomi. Memansuhkan BR1M dan menggubal satu dasar yang lebih telus dalam membasmi kemiskinan sepatutnya menjadi keutamaan.
Perbelanjaan pentadbiran negara kita hampir 80 peratus daripada jumlah Bajet setiap tahun. Jumlah kakitangan awam negara kita pula adalah dua kali ganda daripada negara-negara di Asia Pasifik. Ia akan mempengaruhi pengagihan ekonomi negara kita.
PM pernah berkata, jika tiada GST, kerajaan perlu meminjam untuk membayar gaji kakitangan awam. Ini membuktikan bahawa jumlah kakitangan awam yang begitu ramai merupakan isu ekonomi. Walaupun dikatakan pengecilan bidang perkhidmatan awam dapat mengurangkan masalah defisit namun sejak dulu lagi kerajaan langsung tidak berniat untuk mengurangkan kakitangan awam.
Apabila dasar ekonomi negara dijadikan alat untuk memerintah oleh ahli politik, nescaya negara akan musnah tidak lama lagi. Kesan skandal 1MDB dan rasuah yang sudah menjadi seperti anai-anai yang merosakkan asas ekonomi akan menjadikan Bajet kali ini tidak memberi faedah kepada rakyat. Sebaliknya ia memberi faedah kepada kroni, akhirnya rakyat yang perlu membayar kepada kerajaan. – Oriental Daily