Tiada wang tebusan dibayar, RM12 juta untuk pertubuhan kebajikan Filipina, kata Zahid

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengesahkan wang sebanyak RM12 juta diserahkan pihak keluarga mangsa kepada pasukan ke­selamatan yang mengendalikan kes berkenaan di Sandakan, Sabah itu, namun ia tidak berada dalam simpanan polis.

Sebaliknya, wang tersebut telah diserahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada badan tertentu yang terlibat dalam kerja-kerja kebajikan di Filipina dan beroperasi secara sah mengikut undang-undang negara itu.

“Wang sebanyak RM12 juta yang diserahkan kepada pihak polis yang dikumpul melalui kutipan derma dan jualan hartanah keluarga mangsa adalah bukan sebagai wang tebusan.

“Wang itu diserahkan kepada Cawangan Khas PDRM dan saya mengesahkannya ia untuk disalurkan bukan sebagai wang tebusan tetapi diserahkan kepada badan tertentu di Filipina,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Putrajaya.

Beliau mengulas mengenai persoalan sama ada kerajaan membayar wang tebusan kepada penjenayah, iaitu kumpulan militan Abu Sayyaf untuk pembebasan, selepas empat keluarga mangsa culik dari Sarawak itu mengakui menyerahkan RM12 juta wang yang dikumpul kepada pihak polis.

Ahmad Zahid berkata, tindakan tidak membayar wang tebusan itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan yang memutuskan tiada sebarang tebusan yang dibayar dan pihak polis mematuhi arahan itu.

“Wang itu diserahkan kepada badan yang menjalankan aktiviti yang mengikut undang-undang, bukan aktiviti haram termasuk penculikan kerana kita langsung tidak mengiktiraf atau bersetuju dengan penculikan untuk wang tebusan,” katanya.

Ditanya sama beliau sedia mengesahkan pihak yang menerima wang itu, timbalan perdana menteri berkata: “Itu kami tidak boleh maklumkan sebab ia adalah urusan pihak polis”

“Apa yang boleh dikatakan ialah wang itu telah dihantar ke Filipina dan pihak yang menerimanya tidak ada kaitan dengan kumpulan penjenayah atau kumpulan pengganas.”

Empat kelasi Sarawak itu dibebaskan pada 8 Jun lepas, setelah diculik di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna, Sabah pada 1 April. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia