Tiada sesiapa kendali MH370 pada minit-minit akhir

Dalam temu bual beliau yang pertama selepas mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya bagi Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Greg Hood memberitahu AirlineRatings.com di Perth, Australia Barat, bahawa komunikasi satelit automatik dengan Boeing 777 pada minit-minit terakhirnya menunjukkan bahawa kadar penurunan pesawat itu meningkat secara mendadak daripada kira-kira 5,400 kaki (1200 meter) seminit sehingga 20,000 kaki (6700 meter) seminit.

Peningkatan besar itu menunjukkan bahawa tidak ada sesiapa sedang mengendalikan pesawat itu, kata beliau di Perth.

Wawancara eksklusif dengan AirlineRatings.com itu diadakan selepas beberapa media memetik satu laporan FBI yang dibuat dua tahun lalu mengenai satu program simulator penerbangan yang dimiliki oleh juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah di komputer di rumahnya yang mendakwa beliau telah meluncurkan pesawat Boeing 777 itu dalam satu pendaratan ke dalam air yang terkawal dan bahawa ATSB sedang membuat pencarian di tempat yang salah.

Encik Hood juga memberitahu AirlineRatings.com bahawa laporan FBI itu bukan sesuatu yang baharu.

“Kami telah mengetahui mengenai laporan FBI itu selama dua tahun dan ia telah dilaporkan secara meluas di dalam media pada masa itu. Ia bukan satu perkara baharu.

Akan tetapi Encik Hood menegaskan kepada AirlineRatings.com bahawa laporan FBI itu hanya “berkemungkinan menunjukkan terdapat perancangan dan mungkin niat, tetapi ia tidak memberitahu kita di mana pesawat itu berada.”

MH370 hilang dalam keadaan penuh misteri pada 8 Mac 2014, selepas perhubungan dari pesawat itu terputus semasa apa yang sepatutnya merupakan satu penerbangan rutin dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Bagaimanapun Encik Hood masih yakin untuk menemui MH370 pada bulan-bulan akan datang.

Ketua Pengarang AirlineRatings.com Encik Geoffrey Thomas berkata pendedahan baharu oleh ATSB ini “menjelaskan lebih banyak maklumat mengenai saat-saat akhir tragedi MH370 itu.”

“Adalah amat penting bahawa ATSB, bagi pihak pasukan pencarian pelbagai negara itu, melenyapkan spekulasi yang merosakkan tentang apa yang mungkin atau tidak mungkin berlaku pada MH370,” kata Encik Thomas. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia