Kata Faiz, FIFA hanya membenarkan mereka memenangi anugerah untuk berucap dalam tiga bahasa iaitu bahasa Inggeris, Sepanyol dan Perancis kerana tidak dapat menyediakan penterjemah dalam acara yang disiarkan secara langsung di seluruh dunia itu.
Faiz berkata demikian sebagai respon kepada reaksi peminat bola sepak tanah air yang tertanya-tanya kepada beliau tidak berbahasa Melayu ketika berucap seperti hasrat beliau sebelum ini.
Selain mahu berbahasa Melayu, Faiz juga sebelum ini memaklumkan beliau ingin memakai baju Melayu ketika menghadiri anugerah tersebut.
Bagaimanapun kata Faiz hasratnya itu juga tidak dapat dilakukan kerana baju Melayu sangat nipis dan tidak sesuai dengan keadaan cuaca di Zurich yang terlalu sejuk hingga mencecah -3 darjah Celsius.
Faiz juga turut menceritakan bagaimana beliau gementar ketika diumumkan sebagai pemenang jaringan gol tercantik 2016 sehingga terpaksa mengambil masa mencari teks ucapan di dalam telefon bimbitnya.
“Saya hanya diberi masa 30 saat untuk berucap, jadi perasaan ketika itu agak gementar. Memang sangat gemuruh sehingga saya tidak jumpa ucapan dalam telefon,” kata Faiz.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah yang menemani Faiz ke Zurich memberitahu, pemain itu ibarat ‘selebriti’ dan didatangi peminat yang mahu bergambar dengannya sebelum dan ketika majlis berlangsung.
“Dia juga terkejut apabila didatangi Cristiano Ronaldo, Alex Ferguson, Manuel Neuer, Dani Alves dan Sergio Ramos yang mengucapkan tahniah kepadanya,” kata Afandi.