PUTRAJAYA: Minggu pertama persekolahan tanpa kelas akademik diteruskan pada tahun kedua sesi persekolahan 2024/2025 yang akan bermula 10 dan 11 Mac ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, minggu berkenaan akan diisi dengan aktiviti bagi mewujudkan ekosistem menyeronokkan di sekolah.
“Perkara berkenaan akan mewujudkan budaya untuk hadir ke sekolah secara berterusan sekali gus momentum terbabit dikekalkan sepanjang tahun.
“Pada permulaan sesi persekolahan kali ini, pada hari kedua atau hari ketiga persekolahan yang bermula tahun ini juga merupakan bulan Ramadan.
“Oleh itu, kebijaksanaan pentadbir di sekolah sangat dituntut untuk menyesuaikan aktiviti minggu pertama persekolahan dengan datangnya Ramadan ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat KPPM Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2024/2025 di sini, hari ini.
Sesi persekolahan 2024/2025 bagi kumpulan A iaitu sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dibuka pada 10 Mac ini.
Manakala, kumpulan B iaitu sekolah-sekolah di negeri Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula dibuka bermula 11 Mac ini. –Berita Harian