Tiada kerjasama dengan pengkhianat, penentang Islam, kata PAS

Hashim berkata, antara prinsip asas kerjasama itu adalah Islam hendaklah menjadi pemimpin dalam kerjasama politik dan tidak boleh sama sekali Islam dipimpin.

“Sesiapa yang mempunyai kecenderungan untuk bersama-sama dengan PAS, mesti menerima PAS sebagai pemimpin.

“Kerjasama mestilah dibuat atas dasar Islam. Dasar-dasar lain yang bercanggah dengan Islam tidak boleh diterima dalam kerjasama politik. Kita mungkin boleh bertolak ansur untuk menerima ‘persepakatan’ dalam kepentingan bersama yang selari dengan Islam seperti menentang kezaliman, mencegah rasuah dan seumpamanya,” katanya, memetik kenyataannya di Harakah Daily, hari ini.

Hashim berkata, PAS bagaimanapun tidak akan bertolak ansur untuk menggadai dasar Islam dan semua kerjasama yang dirangka mesti membawa keuntungan kepada Islam.

“Kerjasama yang terang-terangan merugikan Islam, mencabar kemuliaan Islam atau menentang Islam tidak akan wujud sama sekali.

“PAS sentiasa terbuka untuk menerima semua kumpulan Islam supaya bersatu di bawah Gagasan Sejahtera berdasarkan prinsip Islam dan mereka boleh menerima mana-mana kumpulan bukan Islam yang bersedia untuk menerima kepemimpinan Islam, mengakui perjuangan Islam dan sanggup untuk bersama-sama mempertahankan Islam.

“Tidak ada ruang kerjasama bagi kumpulan yang menentang dan mengkhianati Islam!” katanya.

Tambahnya, sebagai sebuah gerakan Islam, apabila mahu menjadikan tahaluf sebagai satu srategi politik, perkara itu harus berjalan mengikut landasan syariat dan tidak boleh berhujah semata-mata atas dasar “diluluskan oleh Muktamar”.

Beliau berkata, Muktamar PAS sendiri adalah terikat dengan sumber hukum PAS iaitu al-Quran, as-Sunnah, al-Ijmak dan al-Qias dan segala keputusan Muktamar PAS yang bercanggah dengan sumber hukum atau pelaksanaannya yang menyanggahi sumber hukum, maka ia adalah terbatal dengan sendirinya.

“Dalam konteks ini, setiap ahli PAS mesti sedar bahawa tahaluf berdiri di atas beberapa syarat antaranya membawa maslahat dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip; mengakui kepemimpinan Islam dan tidak menjejaskan prinsip perjuangan; tidak berwalak kepada sekutu pakatan dan tidak reda dengan pegangan mereka,” katanya lagi.

Hashim berkata, pengalaman PAS dalam mengadakan tahaluf sejak 1973 telah mewarnai pendirian mereka dalam tahaluf bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

PAS sebelum ini pernah bersama Barisan Nasional (BN) (1973-1977), Harakah Keadilan Rakyat (HAK) (1986), Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) (1988-1996), Barisan Alternatif (BA) (1998-2008), Pakatan Rakyat (PR) (2008-2015), dan kini kita memimpin Gagasan Sejahtera untuk menyatukan kekuatan pembangkang mengikut prinsip tahaluf yang digariskan oleh Islam.

“Satu prinsip terpenting dalam tahaluf siasi yang dilaksanakan ialah ia mesti memberikan keuntungan kepada Islam. Mustahil kita melakukan sesuatu tahaluf yang tidak menguntungkan, apatah lagi merugikan Islam Islam.”

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam berkata, langkah mewujudkan kerjasama politik antara Umno dan PAS perlu dilaksanakan dalam usaha memperkukuh hubungan serta perpaduan Melayu-Islam di negara ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan agama itu berkata kerjasama sedemikian adalah dituntut malah disebut di dalam al-Quran bagi memastikan survival umat Islam secara keseluruhannya.

Beliau yang juga berkata atas dasar itu Umno secara ikhlas, berani dan jujur sedia bekerjasama demi menegakkan tuntutan agama.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri