Tiada keperluan ganti Wan Azizah

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, tiada ada sebarang perbincangan untuk menjadikan Presiden Penaja Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua pembangkang yang baharu.

“Kedudukan Wan Azizah dalam Parlimen sebagai ketua pembangkang tidak perlu diubah. Beliau telah menjalankan tugasnya dan saya merasakan tiada keperluan menukar ketua pembangkang yang baharu.

“Muhyiddin bagaimanapun boleh memainkan peranannya dalam bidang lain termasuk politik yang memerlukan pengalaman beliau,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, sebagai bekas timbalan perdana menteri, pengalaman politik Muhyiddin boleh digunakan untuk berhadapan dengan BN.

Malah katanya, Amanah juga tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan parti baharu yang diterajui Muhyiddin itu.

“Sebelum parti ini wujud, Amanah telah pun ada hubungan kerjasama dengan Muhyiddin terutama dalam Deklarasi Rakyat.

“Jadi tidak berbangkit isu untuk menukar ketua pembangkang. Biarlah Wan Azizah menjalankan tugasnya dengan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, Muhyiddin perlu diterima majoriti parti pembangkang untuk dilantik ketua pembangkang.

Katanya, bekas timbalan perdana menteri itu juga perlu mempunyai keupayaan menyatupadukan parti-parti pembangkang.

“Ketua pembangkang perlu diterima semua parti pembangkang dan mampu menyatukan. Soal mampu atau tidak, ia perlu dibuktikan,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri