Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata tindakan ini dibuat bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir untuk belajar di institusi pengajian awam termasuk di politeknik kerana ibu bapa tidak mampu.
Pada masa sama, Idris berkata, pelajar juga layak mendapat pembiayaan PTPTN yang dapat membantu mereka meneruskan pengajian tanpa perlu bersusah payah seperti dahulu.
“PTPTN memainkan peranan membantu mereka yang kurang mampu, dengan memberikan pendahuluan pinjaman RM1,500 kepada pelajar bagi kegunaan awal memasuki universiti.
“Hari ini tidak timbul ibu bapa perlu menjual kambing atau lembu bagi membiayai yuran kemasukan anak-anak ke universiti seperti zaman dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Kemasukan Ke Politeknik Dan Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN sesi Jun 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sabak Bernam di sini, Jumaat.
Yang turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.
Idris berkata, seramai 23,000 pelajar bakal memulakan pembelajaran di 34 politeknik seluruh negara pada 12 Jun ini, membuktikan ramai sudah percaya kepada sistem dan dasar politeknik yang diiktiraf dari dalam dan luar negara.
Kini, politeknik menjadi pilihan utama pelajar. Kemasukan pelajar ke politeknik juga tidak menghalang mereka memperoleh ijazah sebagaimana calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.
Beliau bermula di politeknik Kota Bharu seterusnya mengambil ijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seterusnya ke peringkat sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kini mengambil ijazah Doktor Falsafah di UKM.
Beliau berkata, kebolehpasaran pelajar politeknik juga lebih tinggi berbanding siswa dari UA kerana institusi itu melahirkan tenaga kerja yang mahir daripada aspek teknik dan vokasional.