Sebaliknya, kata beliau keputusan Peguam Negara menimbangkan untuk menghantar peguam pemerhati pada prosiding itu, membuktikan Najib tidak terbabit dalam kes itu.
“Ini menunjukkan Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Peguam Negara akan cuba mendapatkan maklumat lanjut berhubung prosiding saman sivil itu.
“Itu sebabnya saya tidak diarahkan untuk bertindak bagi pihak Najib berhubung perkara ini. Kalau tidak, sudah tentu beliau (Najib) melantik peguam yang mungkin diarahkan ke AS sebagai peguam pemerhati dalam prosiding itu,” katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.
Menurut Mohd Hafarizam, ia adalah kerana kehadiran peguam negara dalam kes saman sivil itu adalah dalam kapasitinya mewakili kerajaan Malaysia dan bukan mewakili Najib selaku perdana mnteri.
Isnin lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali (atas, kiri), dalam kenyataannya tidak menolak kemungkinan beliau sendiri atau pegawainya akan ke AS untuk mengikuti prosiding sivil itu.
Beliau berkata, sebuah firma guaman AS mungkin dilantik dan bersama-sama dengan pegawai kanannya atau bersama beliau untuk menghadiri prosiding itu.
Apandi berkata, beliau akan berhubung dengan peguam di AS untuk membantunya mengenai prosedur untuk menghantar wakil Malaysia bertindak sebagai peguam pemerhati dalam prosiding itu kerana sistem kehakiman negara berkenaan berbeza dengan sistem di Malaysia.
Pada 21 Julai lalu, DOJ memfailkan saman sivil untuk menyita aset yang diperoleh menggunakan wang yang dikatakan digelapkan dari 1MDB.
DOJ dalam saman pelucuthakan berkaitan 1MDB, mendakwa AS$835 juta dilencongkan daripada bon AS$3 bilion diterbitkan untuk pembangunan Tun Razak Exchange 1MDB kepada akaun Tanore di Falcon Private Bank, selepas melalui beberapa dana pelaburan di luar negara.
Akaun Tanore adalah tempat berrmulanya dana AS$681 juta didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib, yang didakwa oleh perdana menteri sebagai sumbangan daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi.
Menurut DOJ, tidak lama selepas hasil jualan bon dialihkan ke akaun Tanore pada 2013, dana AS$681 juta daripada akaun Tanore dipindahkan ke akaun bank milik ‘MO1’.
Pemindahan AS$620 juta kemudiannya dilakukan pada 21 Mac dan ini diikuti dengan pindahan kedua bernilai AS$61 juta 25 Mac kepada akaun MO1 ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan pernah mengesahkan bahawa “MO1” adalah Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berhujah, memandangkan dokumen DOJ tidak menamakan Najib, maka perdana menteri tidak disiasat. Najib juga menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi.