Sekumpulan pelajar sekolah terbabit yang menghadiri program motivasi di Kem Pusat Kecemerlangan Pembangunan Islam Yayasan Pelajar Johor di Sekakap, Mersing pada 20 Julai lalu berpeluang berborak dan juga menikmati hidangan KFC yang dibelanja oleh Sultan Ibrahim.
Pelajar berkenaan sedang menjalani aktiviti riadah di pantai berhampiran Istana Sri Mersing yang kemudiannya menemukan mereka dengan Sultan Johor yang pada ketika itu sedang memandu sebuah Land Rover berwarna oren dengan nombor pendaftaran ‘ZZZ 1’.
Menyedari kehadiran Sultan Johor di kawasan berkenaan, pelajar-pelajar berkenaan mengejar dan menegur Sultan Ibrahim dengan reaksi yang cukup teruja.
Keterujaan itu dirasai pelajar-pelajar berkenaan apabila baginda dalam masa yang sama memberi izin untuk mereka merakamkan gambar bersama.
Pelajar berkenaan turut menjemput Sultan Ibrahim untuk hadir ke kem motivasi mereka namun ianya tidak dapat dipenuhi ekoran baginda mempunyai komitmen di tempat lain.
Sultan Ibrahim kemudiannya menyampaikan KFC sebanyak 150 bungkus pada malam yang sama untuk dinikmati semua pelajar yang terlibat dengan program motivasi berkenaan.