Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM22, Rosmin Hashim berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima surat daripada DD Music selaku penerbit lagu itu yang enggan mempertandingkan karya berkenaan.
“Saya ingin memaklumkan bahawa pencalonan lagu Hidup Dalam Mati dalam kategori Lagu Pop Terbaik AIM22 telah ditarik balik oleh pihak pengurusan Syamel atas isu yang sama.
“Surat penarikan lagu tersebut dihantar Selasa oleh pihak pengurusan penyanyi tersebut,” ujarnya memetik mStar Online.
Bagaimanapun, Rosmin berkata, kedudukan Syamel dalam kategori lain iaitu Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki) dan Artis Baru Terbaik tidak terjejas.
Isu lagu Hidup Dalam Mati menjadi kontroversi selepas ia dikatakan diciplak oleh Syamel selepas pemilik asalnya Ayai (Ilusi) mendedahkan karya tersebut miliknya yang pernah dinyanyikan oleh peserta Kilauan Emas musm ketiga iaitu Idris berjudul Ku Kejar Bayang Mu.
Sementara itu, tambah Rosmin kekosongan tersebut tidak digantikan dengan mana-mana lagu lain.
“Syamel masih bertanding dalam dua kategori lain kerana isu itu tidak melanggar sebarang kriteria atau syarat kelayakan dalam kategori berkenaan,” ujarnya.
AIM22 bakal diadakan pada 12 Disember depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).