Terima kasih kepada Pusat beri laluan usul dibentang – Kerajaan PAS Kelantan

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya juga ingin menyeru kepada seluruh ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira fahaman politik agar menyokong usul tersebut.

Dalam masa sama tegasnya, ahli Parlimen bukan Islam turut digesa tidak menentang usul berkenaan kerana undang-undang tersebut langsung tidak melibatkan masyarakat bukan Islam.

“Sekali lagi saya seru supaya ahli Parlimen beragama Islam menyokong rang undang-undang ini dan terima kasih kepada Pusat kerana memberi laluan usul tersebut dibentangkan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Bharu pada Rabu.

Usul rang undang-undang persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 dijangka dibentang untuk bacaan kali kedua sebelum berakhirnya sidang Dewan Rakyat esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, usul tersebut akan dibawa oleh Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Ketua Whip Barisan Nasional (BN) berkata, sebuah Jawatankuasa Pemilihan yang terdiri daripada ahli Parlimen Islam dan bukan Islam daripada pihak kerajaan dan pembangkang akan dibentuk bagi memperhalusi perkara yang tidak jelas mengenai pembahagian kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, memetik Utusan Online.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri