Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Gadisman, 40-an, berbangsa Melayu dikatakan mencuci badannya di sungai selepas selesai memasang pukat di kawasan berdekatan.
Menurut sumber, ketika itu muncul seekor buaya lalu menyambar kaki kiri mangsa, namun sentapan buaya itu menyebabkan mangsa bertindak pantas dengan menerajang kepala buaya itu dengan kaki kanannya.
“Tindakan itu menyebabkan buaya terbabit melepaskan gigitan di kaki mangsa, namun bertindak balas membaham paha mangsa yang nekad melawan dan berjaya melepaskan dirinya,” katanya.
Insiden itu disedari oleh dua anggota bomba dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Saratok dan seorang anggota bomba bantuan yang sedang memancing tidak jauh dari lokasi kejadian.
Menurut Timbalan Penguasa Bomba Zon 3, TPgB Mohammad Raffy Saibi, anggota bomba terbabit yang berada di luar waktu bertugas segera memberi bantuan kepada mangsa dan terus membawanya ke Hospital Saratok menaiki bot.
“Berikutan kecederaan yang agak serius akibat gigitan buaya tersebut, mangsa dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan selanjutnya.
“Difahamkan, lokasi berkenaan juga merupakan tempat sama seekor buaya membaham seorang wanita berbangsa Iban pada tahun lepas,” ujarnya.