Mereka aktif menjalankan kegiatan itu dengan berkumpul di Jalan Perlis, di sini atau lebih popular dengan nama Lorong Garu, Pulau Pinang.
Bagaimanapun, aktiviti mereka berakhir tengah malam tadi selepas sekumpulan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menyerbu lokasi pelacuran berkenaan dalam Op Narkotik.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Maidu Abu Bakar berkata, operasi tersebut dijalankan hasil risikan dan maklumat orang awam berkaitan kegiatan pelacuran dan penagihan dadah di kawasan berkenaan.
Menurutnya, ketika serbuan, kebanyakan wanita itu dikesan berada di bawah pengaruh dadah dengan ada yang cuba bertindak melarikan diri namun berjaya diberkas.
“Kesemua yang ditahan berusia 20-an hingga 50-an dan mereka dibawa ke IPDTL bagi menjalani ujian air kencing sebelum tindakan undang-undang diambil,” katanya, memetik Utusan Online.
Menurut Maidu, dalam operasi itu, pihaknya turut mengenal pasti terdapat sekumpulan penagih dadah yang menggunakan khidmat tonto di kawasan perumahan flat Sungai Pinang.
Bagaimanapun, katanya, usaha polis untuk menyerbu sarang dadah terbabit gagal apabila lokasi itu didapati sudah ditinggalkan penagih kerana dipercayai menghidu kehadiran polis.