Tangkap M01: Dua ahli parlimen, tujuh mahasiswa dipanggil polis

Ahli Parlimen DAP, Teo Kok Seong, Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad serta tujuh mahasiswa yang lain tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi jam 11 pagi untuk dirakam percakapan.

Kok Seong ketika ditemui pemberita berkata beliau tidak mengenali penganjur perhimpunan dan hanya datang untuk berucap.

“Saya secara peribadi tidak mengetahui siapa sebenarnya pihak penganjur tapi pada hari ini saya dipanggil.

“Ini telah buka peluang pada saya untuk mengenali anak-anak muda yang mempunyai hasrat dan wawasan yang sama untuk kita sama-sama menyuarakan harapan kita kepada negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memuji usaha dan kemampuan mahasiswa yang berjaya mengadakan himpunan secara aman di Dataran Merdeka minggu lalu.

“Apa yang saya nak kata ialah, bagi saya pada hari tersebut anak-anak saya, saya rasa mereka telah melakukan yang terbaik dan membanggakan kita semua.

“Cuba bayangkan anak muda kita telah menganjurkan perhimpunan yang betul-betul aman, kecekapan dan kemampuan mereka,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi menjelaskan mereka disiasat atas tiga pertuduhan iaitu, mengancam demokrasi berparlimen, Akta Perhimpunan Aman 2012, dan Akta Hasutan 1948.

“Kita amat kesal sempena kita sambut kemerdekaan semalam, mahasiswa tunjuk keberanian yang sangat hebat kerana anjur perhimpunan untuk tegak keadilan kerana tak puas hati mengenai skandal yang membelenggu negara telah dipanggil pihak polis,” katanya.

Tujuh lagi mahahsiwa yang dipanggil adalah Anis Syafiqah Md Yusof, Aqilah Zainuzi, Amir Abd Hadi, Luqman Hakim, Luqman Nulhakim, Suhail Wan Azahar dan Isaiah Jacob.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri