Tanggungjawab

Agensi penguatkuasaan undang-undang perlu lebih peka dalam menjaga keselamatan penumpang. Nahas yang berlaku bukan hanya tanggungjawab satu pihak sahaja, malah setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing supaya indeks kemalangan berada pada tahap minimum. Setiap kali selepas berlaku kemalangan, pihak berkuasa pasti menyatakan akan menubuhkan jawatankuasa siasatan namun sehingga kini apa pun tiada.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini telah mengumumkan 9 langkah keselamatan bas bagi mengelakkan kemalangan berlaku lagi. Di antaranya termasuklah penarafan bintang keselamatan bas ekspres dan pelancongan serta menyediakan tali pinggang keledar pada setiap tempat duduk penumpang, menjalankan ujian air kencing ke atas pemandu sebelum bas bergerak.

Namun adakah ia betul-betul dilaksanakan atau ia sekadar cakap kosong sahaja? Tidak dapat dinafikan sebahagian nahas yang berlaku adalah kerana sikap pemandu jalan raya itu sendiri. Namun penguatkuasaan juga sama penting, kerajaan perlu melakukan pemeriksaan ketat, mengawal syarikat bas ekspres tempatan dan menghukum pengusaha yang melanggar peraturan.

Mengambil contoh nahas jalan raya bas ekspres di Pagoh, keluarga pemandu bas yang maut mendedahkan pemandu hanya mempunyai 3 jam sahaja untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan lain. Ia jelas menunjukkan mekanisme perjalanan syarikat berkenaan bermasalah.

Malah, segelintir syarikat yang mengenakan dasar ‘banyak pandu, banyak dapat duit’ akan menyebabkan pemandu kurang masa berehat dan menyebabkan pemandu mahu tergesa-gesa. Jika syarikat bas ekspres hanya menjaga kepentingan peribadi dan tidak menitikberatkan keselamatan pemandu dan penumpang, masalah ini akan terus berlaku.

Nyawa tiada ‘take 2’, dan semua pihak perlu jelas dalam mengutamakan keselamatan. Kita perlu ada rasa tanggungjawab ke atas syarikat bas ekspres, pemandu, agensi penguatkuasaan dan orang ramai supaya tragedi dapat dielakkan. Di samping itu, ada juga cadangan supaya penumpang menjadi pemerhati, sekiranya pemandu melanggar undang-undang, penumpang perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa. – Kwong Wah Yit Poh

Related posts

Kaedah pengiraan jatuhkan Najib

“Tugasan besar” DAP

Hadi Awang “Man of the year”