Taktik baharu jual syabu macam gula-gula

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, syabu tersebut dipaket dalam penyedut minuman untuk dijadikan tiub kecil dan disembunyikan di dalam pembalut gula-gula getah bagi mengelak daripada dikesan.

“Setiap satu syabu dijual berdasarkan saiz, kalau paket kecil antara RM50 hingga RM70 setiap satu dan yang besar RM250 satu,” katanya kepada Bernama di Miri pada Khamis.

Abang Zainal berkata, taktik tersebut berjaya dikesan polis berikutan tangkapan seorang suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun berasal dari Labuan di sebuah rumah di Taman Siew Lim Park, Jalan Punang, Lawas, pagi Rabu.

“Hasil daripada serbuan itu, satu bekas pembalut gula-gula getah warna hijau jenama Wrigley’s Doublemint dengan di dalamnya mengandungi 18 tiub penyedut diisi syabu dijumpai di dalam beg sandang,” katanya.

Beliau berkata, kesemua syabu seberat 5.1 gram yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM1,700 dan siasatan awal mendapati syabu itu dijual kepada pembeli dari pedalaman Lawas.

Katanya sebagai langkah keselamatan tambahan, suspek hanya menjual syabu itu dengan pelanggan tetap sahaja dan pembeli baharu tidak dibenarkan.

“Suspek kini menerima rawatan di Hospital Lawas dengan kawalan ketat polis setelah patah tumit kaki kiri dan kanan semasa terjun dari rumah untuk melarikan diri daripada serbuan polis,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia