Tak Sempat Beli Jongkong Emas RM300,000, Pemilik Restoran Kena Samun, Diacu Pistol

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik restoran berputih mata apabila wang yang akan diguna untuk membeli jongkong emas sebanyak RM300,000 disamun sekumpulan lelaki berkulit hitam berhampiran sebuah pusat beli belah di Taman Melawati, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam insiden jam 1 petang itu, mangsa berusia 27 tahun bersama rakannya berada di sebuah kafe berhampiran pusat beli belah berkenaan untuk urusan jual beli jongkong emas.

“Siasatan mendapati mangsa mulanya berjumpa dengan dua individu iaitu seorang lelaki bergelar Datuk dan wanita warga tempatan sebelum diminta menaiki sebuah kereta jenis Proton Gen2 untuk mengambil jongkong emas tersebut.

“Mangsa dan rakan kemudian telah dibawa mengelilingi pusat beli belah itu sebelum kenderaan yang dinaiki mereka berhenti di tepi jalan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Mohd Azam, tiba-tiba empat suspek lelaki berkulit hitam muncul dan salah seorang suspek mengacukan pistol di kepala mangsa.

Tambah beliau, suspek turut menyembur serbuk lada di mata mangsa lalu merampas beg yang mengandungi wang tunai berjumlah RM300,000 milik mangsa.

Jelasnya, suspek kemudian meninggalkan mangsa di dalam kereta Gen 2 itu dan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta lain.

Mohd Azam berkata, bertindak atas laporan polis pengadu, polis menahan tiga wanita tempatan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Katanya, suspek pertama diberkas pada jam 7.15 malam hari kejadian di sekitar Taman Melawati bagi membantu siasatan manakala dua lagi suspek dicekup pada jam 11.40 pagi Sabtu lalu di sebuah kondominium di Jalan Ampang.

“Ketiga-tiga suspek wanita yang ditahan itu merupakan peniaga dan juga jurujual, masing-masing berusia 31, 54 dan 58 tahun dan sedang direman untuk membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut.

“Semakan mendapati salah seorang suspek memiliki empat rekod kesalahan jenayah lampau selain disahkan positif dadah menerusi ujian saringan air kencing.

“Manakala, empat lelaki berkulit hitam dan seorang lelaki tempatan bergelar Datuk yang disyaki turut terlibat dalam jenayah rompakan itu masih bebas dan sedang diburu polis,” ujarnya.

Mohd Azam berkata, siasatan mendapati mangsa kali pertama mengenali dan berurusan dengan suspek kerana mahu mengaut keuntungan segera berikutan peningkatan harga emas.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan kes samun berkumpulan secara bersenjata yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia