Tak lupa asal usul, Juanda tekad sambung legasi BN bangunkan luar bandar

Baginya muka-muka yang ditemui beliau di kawasan ini kebanyakannya beliau kenal.

“Alhamdulillah, kempen dah dilakukan secara agresif. Semua penduduk di sini ialah sanak saudara, jiran dan kawan saya sejak kecil,” katanya yang merupakan anak jati Kampung Igan di Matu, di bawah DUN Jemoreng.

“Jadi saya pergi ke akar umbi berjumpa mereka bagi mendengar pandangan dan saranan selain meminta mereka meneruskan sokongan terhadap BN,” kata bekas mufti Perlis itu memetik laporan Bernama.

Ketika ditanya apakah cabaran yang dihadapi sejak menceburi bidang politik, Juanda yang pernah menjadi timbalan mufti selama tiga tahun dan mufti enam tahun, berkata bidang politik mempunyai cabaran tersendiri yang amat berbeza dengan bidang agama yang diceburinya.

“Memang cabaran yang amat berat sebab sebagai agamawan kita banyak isu akademik, tapi dalam politik kita perlu gubal polisi yang berpadanan dengan keperluan rakyat,” kata Juanda.

Beliau juga ingin meneruskan kesinambungan BN dalam membangunkan kawasan luar bandar.

Juanda berkata, rakyat luar bandar terutama di kawasan yang ditandinginya sudah merasai pembangunan yang dibawa oleh kerajaan BN Sarawak yang dipimpin Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Sejak Tan Sri (Adenan) ambil alih jawatan Ketua Menteri, fokus beliau membangunkan kawasan luar bandar dan saya sebagai calon baharu amat menyambut baik usaha beliau kerana saya juga berasal dari luar bandar,” katanya.

Juanda berkata, tidak banyak isu yang diutarakan oleh masyarakat di kawasan Jemoreng ketika beliau menjalankan kempen melainkan isu kesinambungan kepada proses pembangunan yang telah dijalankan.

“Kita sebagai calon baharu dengar apa lagi feedback rakyat terhadap kemudahan yang sedia ada antaranya berkaitan masalah jalan yang rosak dan perlu dibaiki selain masalah liputan talian telefon yang kurang meluas,” katanya.

Selain pernah memegang jawatan sebagai mufti, Dr Juanda, 45, juga merupakan bekas felo di Universiti Oxford United Kingdom.

Kerusi Dun Jemoreng bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Dr Juanda daripada BN, calon Amanah, Kiprawi Suhaili serta seorang calon Bebas Abdullah Saminan.

Sebanyak 9,699 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.

Pada PRN Sarawak 2011, Abu Seman Jahwie daripada BN menang di Jemoreng dengan majoriti 2,926 undi menewaskan dua calon Bebas Asbor Abdullah dan Abdul Hafiz Noh. – Bernama

Related posts

PRN Sarawak ke-11 telan belanja RM135.6 juta

Itu hak Adenan – Masing

Nazri umum peruntukan RM210,000 untuk 41 ranting PBB Pantai Damai