Menurut beliau, sejarah telah membuktikan realiti yang mana Dr Mahathir dilihat seorang yang kerap bergaduh termasuk dengan keempat-empat perdana menteri dan juga tiga timbalan perdana menteri termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Musa Hitam.
“Saya percaya tak ada orang yang akan mengatakan sebaliknya daripada apa yang disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)…semua perdana menteri dia gaduh, gaduh dengan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang dengan Datuk Seri Najib.
“Tahun 1990 isu perlembagaan, bergaduh dengan semua Raja-Raja Melayu, dari segi kehakiman bergaduh dengan semua hakim waktu itu apabila dia memecat hakim dan sebagainya, dengan raja bergaduh, dengan perdana menteri bergaduh, dengan timbalan perdana menteri bergaduh,” katanya kepada pemberita di Jempol pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib yang juga Presiden UMNO semalam yang menyifatkan seorang bekas pemimpin negara yang berkhidmat selama 22 tahun sebagai kaki gaduh.
Najib berkata ini kerana pemimpin berkenaan sering mengkritik pemimpin terdahulu dan sekarang sebagai tidak betul dalam segala tindak tanduk mereka.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, beliau percaya tiada rakyat Malaysia yang menafikan kenyataan itu.
“Bukan sahaja perdana menteri, Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) pun dalam titahnya menyatakan beliau kaki gaduh…jadi semua orang berpendapat sama bukan sahaja saya saja tapi semua orang,” katanya.