Beliau yang diminta mengulas behubung arahan polis meminta perusuh termasuk anakya Firdaus Tajuddin, 34 menyerah diri bagaimanapun berkata pihak media sengaja mensasikan isu berkenaan.
“Jangan main satu itu sahaja. Kamu kena lihat isu ini dalam konteks yang betul. Baru kamu boleh tanya dengan tujuan dan niat yang betul.
“Kamu rakam ini (kejadian rusuhan) dan kamu lapor apa yang kamu minat lapor.
“Kamu tak lapor apa perkara yang sebenarnya berlaku. Kamu tulis apa yang kamu minat,” kata Tajuddin memetik laporan Malaysiakini.
Tajuddin berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perjumpaan pegawai IADA Seberang Perak dan ketua jabatan dan agensi kawasan Parlimen Pasir Salak di Putrajaya malam Khamis.
Polis semalam meminta 10 individu, termasuk anak timbalan menteri UMNO itu menyerah diri bagi membantu siasatan kes merusuh di kawasan parlimen.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh berkata siasatan dibuat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, anggota Parlimen Pasir Salak itu berkata media hanya akan bertanya tentang perkara yang diminatinya sahaja dan bukan kerana perkara yang betul.
“Apa point kamu? Kamu tanya saya apa yang kamu minat dan bukan sebab perkara betul.
“Jika kamu minat dengan perkara yang betul. Saya boleh jawab. Jika kamu minat apa yang kamu suka, seronok dan reka sensasi, malaslah saya,” kata Tajuddin.
Tajuddin yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno itu sebelum ini mengesahkan anaknya adalah antara mereka yang ada di perkarangan parlimen ketika sekumpulan orang awam ‘menyerang’ Khalid Samad pagi semalam.
Bagaimanapun, Tajuddin menafikan menaja kumpulan tersebut untuk memasuki kawasan Parlimen.
Tajuddin juga dilaporkan berkata “mereka melindungi rakyat Pasir Salak”.
Sebelum ini, Tajuddin secara berseloroh menyebut hanya Teresa Kok (DAP-Seputeh) wanita yang mempunyai nama dengan perkataan ‘Kok’ di Seputeh.
Bagaimanapun, gurauan tersebut menyebabkan Dewan Rakyat kecoh dengan beberapa anggota Parlimen pembangkang membantah tindakannya itu termasuk Khalid yang berkata ‘sial’.
Kekecohan itu bagaimanapun ditenangkan Timbalan Speaker Datuk Seri Ronald Kiandee dengan membuat penetapan bahawa perkataan ‘Kok’ adalah merujuk kepada nama Teresa dan bukan bermaksud perkataan lain.