Syed Saddiq sumbang RM10,000 untuk aktivis pelajar UM didenda

Najib telah menyampaikan hadiah itu kepada Syed Saddiq bagi pihak kerajaan, di satu majlis tahun lalu sebagai menghargai pencapaian pendebat itu.

“Ingat lagi saya bila disoal oleh media tentang wang berjumlah RM10,000 yang saya terima.

“Saya berjanji bahawa saya akan gunakan wang tersebut untuk memperjuangkan hak kebebasan bersuara kerana itulah sebab asal saya memperolehi anugerah itu.

“Datuk Seri Najib yang dulunya mengucapkan tahniah kepada saya kerana berjaya mengharumkan nama negara atas dasar bahas, kini bermati-matian menjahit mulut rakyat yang berani melawannya,” kata Syed Saddiq dalam kenyataannya.

UM telah menggantung pengajian serta mendenda Anis Syafiqah atas peranannya sebagai penganjur perhimpunan Tangkap MO1 di Kuala Lumpur Ogos lalu.

Dua aktivis pelajar lain, Mohd Luqman Hakim Fazli dan Mohamad Luqman Nul Haqim Zul Razali juga digantung pengajian selama satu semester dan didenda RM400, manakala Suhail Wan Azhar hanya didenda.

“Mereka bukan dari mana mana parti politik. Bukan DAP. Bukan PAS. Dan bukan PPBM.

“Mereka hanyalah aktivis muda yang inginkan hak kebebasan bersuara.

“Mereka aset negara yang harus didukung, bukan ditindas,” katanya yang menyifatkan mereka sebagai wira dan wirawati Malaysia.

Syed Saddiq berkata sumbangan itu merupakan salah satu pelaburan untuk pemerkasaan kuasa anak muda yang bakal mencorakkan negara, sambil menegaskan bahawa ia merupakan sumbangan peribadinya dan bukan dari parti PPBM.

Perhimpunan Tangkap MO1 menyaksikan sekitar 2,000 pelajar berkumpul untuk mendesak tindakan terhadap tokoh yang dinamakan 36 kali dalam saman sivil pelucuthakan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) AS sebagai ‘Official 1 (MO1). -Malaysiakini

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri