Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama-nama syarikat terbabit dan dalam masa yang sama akan memastikan mereka tidak menerima sebarang kontrak dari kerajaan.
“Saya tahu siapa mereka, tak perlu (dedahkan). Tidak banyak tetapi cukup untuk melayan perkara ‘mengarut’ ini (Bersih).
“Saya mengawal EPU (Unit Perancangan Ekonomi) dan Ukas (Unit Kerjasama Awam Swasta), jadi saya akan pastikan mereka tidak akan mendapat kontrak kerajaan,” katanya ketika ditemui di majlis Hari Temuduga Terbuka bagi Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) bersama UEM Group di Menara UEM, Kuala Lumpur pada Isnin.
Sebelum ini, Abdul Rahman di laman Twitternya berkata bahawa mana-mana syarikat yang menyokong perhimpunan haram termasuk Bersih akan disenarai hitamkan dari menerima sebarang kontrak dari kerajaan.
Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata demikian sebagai respon terhadap pandangan yang disuarakan oleh Awang Selamat dalam akhbar Mingguan Malaysia pada Ahad yang mencadangkan perkara tersebut.