‘Sultan Melaka’ mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu

Noor Jan Shah, 58, dari Taman Seri Gombak, Selangor, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Tertuduh didakwa menipu Zaamat Md Idris, Mokhtar Md Yusof, Ahmad Zainudin Abdul Hamid dan Hazizi Ikhwan Zaamat untuk mempercayai bahawa dirinya ialah ‘Sultan Melaka’, dengan membuat majlis istiadat penyerahan surat pelantikan sebagai ‘Sultan Melaka’ sedangkan itu bukan identiti sebenarnya.

Dia didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu di A’Farmosa Resort Melaka pada 10 malam, 28 Dis 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Chee Thim memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Surjan Singh Sidhu yang mewakili Noor Jan merayu mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh dan sentiasa hadir memberikan keterangan kepada pihak polis sepanjang siasatan kes itu.

Dalam hujahan balasnya, Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirhu Samsudin berkata jaminan RM10,000 itu adalah bersesuaian kerana kes itu berstatus profil tinggi yang menarik perhatian bukan sahaja di Melaka malah seluruh negara.

Ahmad Sazali kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 21 Dis ini sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.–Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia