KUALA LUMPUR: Produk stoking kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart yang tular di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan rakyat diimport oleh pembekal dari negara China.
Syarikat pembekal Xin Jian Chang Sdn Bhd yang dijemput dalam sidang media KK Mart hari ini berkata, syarikat itu menerima stoking berkenaan dalam guni yang tiba di kilangnya di Batu Pahat, Johor tahun lalu.
Pemilik syarikat itu, Soh Chin Huat berkata, dalam guni tersebut terdapat 1,200 pasang stoking yang bercampur dengan pelbagai rekaan dan warna serta jenamanya.
“Pekerja kami kemudian menghantar sendiri stoking-stoking berkenaan ke premis KK Mart bermula 29 Januari lalu dan di situ berlaku kesilapan pekerja kerana tidak pemeriksaan dengan teliti menyebabkan stoking berkenaan dijual di KK Mart,” katanya dalam sidang media yang dibuat oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr KK Chai di sini hari ini.
Sebaik sahaja dihubungi oleh KK Chai selepas produk stoking kalimah Allah tular, Chin Huat berkata, dia terus menghubungi pihak pengeluar stoking itu di China memaklumkan kepada mereka.
Pengeluar pula mendakwa tidak tahu bagaimana stoking itu boleh ada dalam guni yang dihantar ke syarikatnya tetapi kemudian nengakui ia disebabkan kesilapan pekerja mereka.
“Setakat hari ini, kami sudah melakukan pemeriksaan rapi dan teliti di semua KK Mart dan memastikan tiada lagi stoking tertera tulisan kalimah Allah dijual.
“Kesilapan sudah berlaku dan selaku pemilik syarikat yang membekal stoking kepada KK Mart memohon maaf secara terbuka kerana menjual stoking kalimah Allah terbabit.
“Insiden ini telah memberi pengajaran kepada saya supaya lebih berhati-hati dalam proses membawa masuk produk dari luar negara dan kami akan belajar dari kesilapan ini,” katanya sambil mengaku KK Mart menjadi mangsa keadaan dalam isu tersebut.
Dalam pada itu, Penasihat Perhubungan Korporat KK Mart, Haika Daniel turut menafikan kenyataan segelintir pihak yang mendakwa penjualan stoking itu disengajakan oleh syarikat KK Mart adalah tidak benar sama sekali.
“Kita tahu kalimah Allah dekat di hati masyarakat Islam di negara ini, justeru, kita menekankan kenyataan yang mendakwa syarikat sengaja mewujudkan isu ini adalah pandangan tidak tepat sama sekali.
“Sebagai syarikat yang sudah 23 tahun berada di pasaran, kita tidak akan berbuat demikian apatah 60 peratus kakitangan KK Mart beragama Islam dan ia adalah kesilapan yang tidak disengajakan dan bukannya perancangan,” katanya.
Haikal turut merayu supaya tindakan boikot yang didesak pihak di luar sana dihentikan kerana ia juga berkait dengan nasib pekerja di syarikat berkenaan.
“Kita mempunyai 5,000 pekerja di 800 cawangan di seluruh negara. Dari jumlah itu, 60 peratus pekerja kami adalah yang beragama Islam dan banyak terlibat Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada masyarakat miskin termasuk beragama Islam sepanjang 23 tahun beroperasi.
“Kita memohon kepada orang luar supaya berhenti memboikot kami (KK Mart) kerana kami juga ada memberikan khidmat dengan menyediakan kemudahan 24 jam kepada masyarakat,” ujarnya. – MalaysiaGazette