Ketika ini, kandungan Stacy atau nama baharunya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, mencapai 37 minggu dan menunggu masa untuk bersalin pada bila-bila masa.
“Alhamdulillah buat masa ini, semuanya berada dalam keadaan sihat. Cuma saya panik kerana memikirkan bila-bila masa saja boleh bersalin.
Semakin berdebar-debar apabila saat untuk melahirkan bayi makin dekat.
“Kadangkala tidurpun tidak lena kerana terlalu memikirkan saat bersalin.
Mana tahu sedang nyenyak tidur saya hendak bersalin pula? Kadang-kadang menjelang pagi baru dapat melelapkan mata,” katanya kepada BH Online.
Stacy berkata, dia mengikut nasihat ramai agar lebih banyak berjalan bagi memudahkan proses bersalin.
“Saya berharap peminat dapat mendoakan supaya segala urusan melahirkan bayi ini lancar,” katanya.
Pada 18 Ogos lalu, Akim yang juga vokalis kumpulan The Majistret berkongsi berita gembira kehamilan Stacy pada status di akaun laman sosialnya.
Pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga pada 5 Februari lalu di Hotel Shangri La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.
Perkahwinan Stacy dan Akim diserikan dengan kehadiran anak angkat mereka, Bella yang kini sudah berusia enam tahun.