Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk M Samarajoo berkata, serbuan itu berlandaskan undang-undang sedia ada dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihaknya.
“Pegawai SPRM yang terlibat dalam operasi itu tidak mengepung balai polis berkenaan atau bertindak kasar terhadap anggota polis yang ditahan itu, sebaliknya mereka (SPRM) masuk melalui pintu utama balai.
“Pegawai SPRM turut memperkenalkan diri dan mengemukakan kad kuasa di polis balai itu, sebelum menahan lima anggota berkenaan,” katanya.
Beberapa media sebelum ini melaporkan, SPRM Pulau Pinang terpaksa mengepung balai polis itu, sebelum menahan lima anggota yang dipercayai terbabit kes rasuah.
Menurut laporan media itu, dalam serbuan jam 3 pagi Sabtu itu, kesemua mereka yang ditahan dipercayai terbabit dalam rasuah melibatkan jumlah wang yang besar.
Samarajoo berkata, tidak berlaku sebarang pergelutan semasa penahanan lima anggota, termasuk seorang wanita itu, sebaliknya mereka semua memberi kerjasama yang baik.
“Ada beberapa media (dalam talian) melaporkan SPRM mengepung balai itu terlebih dahulu semasa serbuan berkenaan, sehingga ia menjadi viral di laman sosial dan memberi persepsi buruk kepada kami serta polis.
“Sebenarnya, langsung tidak timbul perkara itu dan serbuan berkenaan juga adalah operasi biasa yang dilakukan SPRM, selepas mendapat aduan.
“Ia juga bukan satu operasi khas yang dirancang secara khusus,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan memberi ruang kepada pihaknya menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Dalam serbuan itu, SPRM menahan lima anggota berusia 20 hingga 40 tahun, terdiri daripada seorang anggota berpangkat koperal, tiga lans koperal dan seorang anggota wanita berpangkat konstabel.