Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Shamsudin Yusof berkata lelaki berumur lingkungan 30-an itu menawarkan sejumlah RM400 kepada pegawai polis berkenaan bagi membebaskan dua rakannya yang ditahan pasukan keselamatan pada hari sama.
“Berikutan itu, pegawai polis berkenaan kemudiannya menangkap lelaki warga asing tersebut sebelum menyerahkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
“Suspek akan didakwa di mahkamah selepas SPRM menyiapkan kertas pertuduhan terhadapnya,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.
Dalam pada itu, Moh Shamsudin turut memuji tindakan pegawai polis berkenaan dan wajar dijadikan contoh oleh semua kakitangan kerajaan.
“Moga tindakan murni ini menjadi pengajaran kepada kita semua bagi memastikan tiada gejala rasuah dalam kalangan kita semua,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata dua kontraktor yang ditahan SPRM baru-baru ini yang dipercayai terlibat dalam tuntutan palsu berjumlah antara RM170,000 hingga RM380,000, dibebaskan dengan jaminan agensi itu, Khamis lalu.
Katanya SPRM sedang melengkapkan siasatan dengan beberapa lagi saksi mungkin akan dipanggil untuk diambil keterangan.
Selasa lepas, Moh Shamsudin berkata agensi itu menahan dua lelaki berumur lingkungan 30-an kerana disyaki mengemukakan laporan tawaran kerja palsu untuk mendapatkan pinjaman daripada kerajaan. – Bernama