KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mempersoalkan “penafian” Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam siasatan kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (Spanco).
Katanya, beliau tidak membuat andaian terhadap bekas perdana menteri itu terlibat kerana siasatan masih berjalan.
“Apa maksud dia sebenarnya? Saya hanya membuat kenyataan (isu Spanco) apabila ditanya (media) sama ada beliau akan dipanggil.
“Saya menyatakan tidak menafikan, mahu pun tidak menolak (panggil Muhyiddin beri keterangan). Namun, ia bergantung kepada pegawai penyiasat SPRM.
“Jadi, saya sebenarnya tidak lagi mengatakan serta tidak membuat sebarang andaian (mengaitkan Muhyiddin dalam isu Spanco). Itu satu perkara biasalah bila kita membuat kenyataan tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku (dalam siasatan SPRM),” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian pejabat SPRM cawangan Mersing, Johor.
Pada 23 Feb, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) menafikan terlibat dalam salah laku membabitkan Spanco.
Beliau membuat penafian itu kerana mendakwa ada tohmahan terhadapnya berhubung perkara tersebut yang berlegar di media massa dan sosial tanpa sebarang butiran lengkap.
Muhyiddin mengulas demikian susulan laporan SPRM merakam percakapan bekas menteri kewangan yang terbabit dalam kontrak kepada Spanco bagi tempoh 2020-2021.
Azam berkata, berkata pihaknya masih meneruskan siasatan dan tidak menolak kemungkinan memanggil “bekas perdana menteri”, sambil menegaskan ia terpulang kepada pegawai penyiasat sama ia menjadi keperluan.
Spanco ialah penyedia penyelesaian pengurusan kenderaan konsesi bebas terbesar di negara ini, ditubuhkan pada 1988.
Pada 1993, Spanco diberi perjanjian konsesi selama 25 tahun dengan kerajaan, yang membenarkan syarikat itu menyediakan dan memajak kereta dengan perkhidmatan penyelenggaraan penuh untuk kerajaan.