Skandal Air Sabah: Bekas pengarah dan isteri didakwa

Turut didakwa adalah isteri beliau, Fauziah Piut, 51, dan bekas Timbalan Jabatan Air Sabah, Lim Lam Beng, 62.

Awang Mohd. Tahir yang juga tertuduh pertama dan telah digantung tugas selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Oktober lepas berdepan dengan 12 pertuduhan membabitkan pemilikan secara haram wang tunai dan di dalam akaun bank berjumlah RM56.9 juta.

Sementara itu, isterinya yang baru ditahan di kediaman tertuduh semalam berdepan dengan 19 pertuduhan membabitkan pemilikan wang haram RM2.2 juta.

Pertuduhan yang dihadapi Fauziah sebagai tertuduh kedua turut melibatkan pemilikan secara salah pelbagai jenis harta yang tidak dimaklumkan nilainya.

Awang Mohd. Tahir dan Fauziah turut berdepan dengan dua pertuduhan secara bersama iaitu memiliki sebanyak 921 jenis pelbagai barangan kemas dan barangan mewah yang tidak dinyatakan nilainya.

Sementara itu, tertuduh ketiga iaitu Lam Beng berdepan dengan empat pertuduhan memiliki kenderaan mewah serta wang tunai secara haram sebanyak RM2.38 juta.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing yang dibuat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ketika prosiding, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Husmarudin Husin dan Farez Rahman manakala barisan peguam diketuai PJ Pereira mewakili Awang Mohd. Tahir dan Fauziah.

Lam Beng pula diwakili barisan peguam diketuai Chin Teck Ming.

Hakim Ummu Khaltom Abdul Samad menetapkan pukul 12.45 petang ini untuk menentukan nilai jaminan terhadap setiap tertuduh.

Pihak pendakwaan memohon nilai wang jaminan sebanyak RM10 juta terhadap Awang Mohd. Tahir dan RM2 juta masing-masing bagi Fauziah dan Lam Beng.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap