Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan menyifatkan demikian berikutan anggota keluarga serta penyokong Maria Chin Abdullah menyifatkan penahanan pengerusi Bersih itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sebagai salah dan tidak wajar.
“Mereka menganggap penahanan Maria Chin di bawah SOSMA lebih terjurus kepada kegiatan keganasan sebaliknya akta itu digunakan untuk menahan Maria Chin atas faktor keselamatan negara.
“Sila semak fakta anda terlebih dahulu, siapa kata dia (Maria Chin) seorang pengganas? Pengganas akan ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan bukannya SOSMA,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kraf Kampungku di Kuala Kangsar pada Jumaat.
Beliau berkata penahanan Maria Chin berdasarkan bukti yang ditemukan di pejabatnya yang dilihat cuba menggugat demokrasi berparlimen negara ini.
Mohamed Nazri berkata sebarang pertikaian berkaitan penangkapan Maria Chinperlu mengikut proses undang-undang negara.
“Sesiapa yang mahu mempersoalkan penahanannya perlu ke mahkamah dan bukan dengan cara duduk bermalam-malam di Dataran Merdeka memasang lilin kerana itu bukan proses undang-undang. Biarlah mahkamah yang membuat keputusan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu lalu berkata penahanan Maria Chin tiada kena mengena dengan perhimpunan Bersih tetapi dibuat di bawah SOSMA kerana boleh menggugat keselamatan negara.
Menurut Khalid, di bawah akta berkenaan polis boleh menahan Maria Chin selama 28 hari bagi menyiasat setiap bukti yang ditemukan di pejabatnya. ― Bernama