Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu dinasihat menggunakan baki usia yang ada untuk memperbaiki dan meningkatkan amalan seharian.
Sambil menyifatkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebagai orang kecewa dan putus asa, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menasihatkan Dr Mahathir supaya menghentikan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan orang ramai.
Katanya, dakwaan BR1M sebagai wang rasuah adalah satu penghinaan kepada kerajaan dan penerima kerana bantuan itu adalah antara program ke arah menjayakan konsep negara berkebajikan, malah tindakan sama dilakukan Dr Mahathir dalam isu pemberian bantuan wang ehsan khusus kepada rakyat Terengganu.
“Dr Mahathir tidak berhak mengeluarkan fatwa mengenai BR1M kerana beliau bukan orang alim, malah beliau mungkin tidak memahami takrif rasuah.
“Saya nasihatkan berhentilah mencari jalan menjatuhkan orang dengan membuat tuduhan yang bukan-bukan, lebih baik beramal di hujung hayat yang masih ada.
“Tuduhan Dr Mahathir itu akhirnya akan menimbulkan kebencian rakyat sedangkan beliau tahu siapa saja yang makan rasuah sudah tentu masuk neraka sedangkan bantuan itu adalah antara program kebajikan untuk membantu rakyat yang kurang bernasib baik.
“Sikap Dr Mahathir itu jelas menggambarkan beliau sebagai orang yang kecewa dan berputus asa apabila parti baharu yang ditubuhkan itu gagal meraih sokongan dan sambutan daripada rakyat,” katanya kepada memetik laporan BH Online.
Harussani berkata, adalah jelas program BR1M bukan rasuah kerana semua golongan tanpa mengira bangsa dan ideologi politik menikmati bantuan itu.