Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perkara itu harus disiasat secara emperikal iaitu berdasarkan pemerhatian dan ujian saintifik.
“Soalnya bukan ‘siapa’ dibiayai dan ‘kenapa’. Apa yang harus ditanya ialah penglibatan pihak luar terhadap politik negara.
“Ini kerana politik Malaysia mengikut acuan yang sesuai dengan politik negara kita. Tidak perlulah, jika benar melibatkan pihak luar apatah lagi pembiayaan aktiviti politik sama ada menentang atau menyokong mana-mana organisasi atau individu,” katanya kepada pemberita pada pelancaran buku bertajuk Being Abdullah Ahmad Badawi: The Authorised Biography, di ibu negara pada Isnin.
Menurut laporan media pada Isnin, satu kumpulan asing dipengerusikan hartawan George Soros membiayai beberapa organisasi tempatan dalam programnya mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.
Ditanya mengenai gesaan beberapa pemimpin tempatan supaya siasatan dijalankan ke atas organisasi yang terlibat, Ahmad Zahid berkata, ia akan dilakukan sekiranya terdapat laporan polis.
“Biar laporan polis dilakukan. Kita juga akan lakukan tindakan sebagaimana saranan itu. Kita tidak tertakluk pada sebarang spekulasi atau saranan,” katanya. – Bernama