Siapa calon BN, Budiman Zohdi?

Pengumuman dibuat oleh Timbalan Presiden BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Zahimi di hadapan ribuan penyokong pelbagai kaum yang datang dari seluruh Selangor. Turut hadir wakil-wakil negeri yang datang memberi sokongan.

Bagi orang tempatan, nama Budiman bukan asing bagi mereka kerana perkhidmatan cemerlang yang telah diberikan sebagai ADUN sejak tahun 2013 lagi. Pencalonan Budiman mendapat reaksi yang baik berdasarkan ‘track record’ sebelum ini.

Dilahirkan pada tahun 1972, Budiman sudah berkahwin dengan isteri, Norma Aida Abdullah yang merupakan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan telah dikurniakan seorang anak, Aida Jasmin Kirana (16 tahun).

Beliau mempunyai Diploma Pemasaran di Politeknik Kota Bharu, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (UKM), Ijazah Sarjana Sains (UKM) dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Sains Politik di UKM.

Naluri pemimpin beliau telah bermula di pusat pengajian tinggi lagi apabila menjadi pemimpin kepada pergerakan mahasiswa di Politeknik dan juga di universiti-universiti tempatan dari tahun 1992 hingga 1997.

Beliau telah memimpin gerakan mahasiswa pro BN dengan mewujudkan kumpulan Tindakan Siswa Bersatu (TSB) dan menang Pilihan Raya Kampus pada zaman tersebut.

Kepetahan beliau berbicara juga tidak boleh dinafikan apabila pernah menjadi Pendebat Terbaik Universiti ASEAN (1996) dan Pendebat Terbaik Universiti-universiti Malaysia (1997) selain pernah mendapat Anugerah Japan International Agency (JAICA) di Tokyo pada tahun 1992.

Naib Presiden UMNO Bahagian Sungai Besar itu kini merupakan Setiausaha ADUN BN Selangor dan aktif menulis rencana berkaitan isu semasa di akhbar-akhbar utama dan telah menghasilkan tiga buah buku serta aktif dalam media sosial.

Related posts

Jangan keterlaluan memuji saya – Budiman

Tiada sabotaj dalam BN kunci kemenangan besar

PAS harap undi protes untuk menang